Makna

Kita mamah sedulang sepi yang terhidang
Tanpa kata hanya saling menikam pandang
Berjurus-jurus lalu bayu pun berhenti berderu
Meredah sayap dengan rasa ingin tahu
Malam membungkus seluruh bicara
Membiarkan kita meraba-raba makna
Bintang yang hilang kerdipnya
Menyodor selembar mimpi
Yang siap ditafsir
Oleh sang musafir
Sedang dadanya sarat dengan khuatir
Kalau masa itu hanya sekeping kartu
Yang merakam ratip-ratip rindu
Berapa lama lagi kita merelakan
Lena ini memasung jaga
Jaga ini mengusir cinta
Cinta ini membunuh cinta
Yang teratas antara segala
Rahsia ini bukan lagi rahsia
Untuk tanyamu kenapa puisiku hanya menghembus sunyi
Kerana aku kian lelah
Untuk sembunyikan hati sendiri

0 comments: