
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan 
tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, 
cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak 
dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan 
gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan 
yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak
 dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, 
dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak 
ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. 
Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan
 dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali 
apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa 
ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya 
terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadaanya
Apapun kisah silam yang pernah kita 
lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan 
bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil
 kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang.
Biarpun dia tahu yang kita pernah 
mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia 
tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah 
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia 
menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan 
asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan 
menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita 
dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, 
kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi 
faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, 
sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita.
Apabila dia jujur, semakin hangat lagi 
hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan
 percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia 
tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat 
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan 
ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya?
Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling 
percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani 
mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada 
kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain.
Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia 
kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan 
kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta 
berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu 
saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi 
kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah 
ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. 
Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan 
melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya 
tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama.
Ini penting kerana ia mempengaruhi 
kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita 
hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab 
seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia 
mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke 
klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita 
mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter,
 dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang 
situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa 
ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam 
percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula 
suami isteri’.
Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan 
kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala 
suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai 
menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. 
Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada 
segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan 
tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak 
terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk 
memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia 
tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia 
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak 
menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk 
masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia
 dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami 
perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu
 perasaan masing-masing.
Kita dan dia juga dapat membaca fikiran 
antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada 
situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah
 sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita?
Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada 
ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan 
Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya 
ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai 
pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati.
Mimpi memang mainan tidur, tetapi 
apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah 
memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat 
petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah
 bagi mendapatkan kebahagiaan
 hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan 
terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.
Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

