Insan Teristimewa


Mencoret angan dalam pintalan
Benang-benang maya kasih
Ku jadikan lembaran warkah agung
Buat tatapan kalbu insan ku puja
Biar terbit di dada-dada kaca
Bersama wangian kuntum-kuntum mawar ungu

Ungkapan manis menyelak rasa satu persatu
Usahkan hidup mahu bersama
Malah mati pun ingin dalam liang yang sama
Camar-camar bagai ketawa sayang
Saat mendengar lafaz janji yang bukan-bukan
Manisnya cengkerama kita
Lewat mentari di anjung senja
Di kunjung bulan bersama bintang berjuta
Panahan asmara menujah-nujah di dinding jiwa
Hampir saja kita karam di pinggir lautan kasih
Dalam teduhan pondok yang semakin menghitam
Dek kerana mentari kian ditelan ufuk senja
Hebatnya cinta mu wahai sang arjuna
Aku terbuai bukan kerana paras rupa
Juga bukan kerana harta nan melimpah-ruah
Tapi kerana kasih yang membelai jiwa..
Tiada cinta yang sepi dibadai gelisah
Saat itu betapa aku tak ingin
Melihat mu pergi tanpa rela di hati
Meninggalkan kenangan terindah tika berdua
Namun apa daya sayang
Kita tidak memegang tangkai taqdir
Patah tumbuh tapi hilang tidak berganti
Mungkin kau satu dalam berjuta
Tiada serupa meski akan ada sama
Aku akan terus setia
Bersimpuh kasih memintal benang-benang doa
Untuk sejahtera dan bahagia
Jika nadimu berdenyut ria
Untuk damai dan tenang
Jika nafasmu telah menghilang
Kerana aku kabur mencari berita
Diselubung kabus tak berpenyudah
Dihimpit persoalan tiada jawapan
Aku tandus kehilangan kata-kata
Aku tangis dalam gelak dan tawa
Terus mencari
Terus bertanya
Kemanakah hilangnya orang yang ku puja..

0 comments: