Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Meraka yang mencari harta dunia
(kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari
meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah
untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran
tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah
dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”
Riwayat At-Tabrani
Huraian:
Pengajaran Hadith:
i) Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau
bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu
dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri,
keluraga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada
bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain.
ii) Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu
adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud
jihad yang dituntut oleh Islam.
iii) Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti
dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada
Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram
seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan
dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia