Life Is About Making A Decision

Allah SWT menjadikan segalanya berpasangan; malam dan siang, kuat dan lemah, benar dan salah, sesat dan benar dan sebagainya. Inilah persimpangan dalam kehidupan kita, sebahagiannya perlu dipilih dan setiap pilihan memberi kesan besar pada perjalanan hidup kita dan tempat akhir kehidupan kita.

Yang hitam dan yang putih memang terlalu ketara bezanya cuma kita tidak benar-benar bersedia untuk membuat keputusan yang betul. Kebenaran dan kesesatan terlalu jauh bezanya. Cuma kesenangan dan kesoronokan segera menjadikan kita sentiasa memilih jalan yang mudah dan ringkas walaupun kita tahu hasilnya ialah penyesalan. Kemewahan menjadikan hati kita keras dan hilang kepekaan hingga kita tidak menghiraukan natijah yang bakal kita terima. Dunia dan hajat kita yang tinggi kepadanya menjadikan kita sentiasa mengutamakan pandangan nafsu dan masyarakat dari pandangan kebenaran. Kita takut dikeji dan diperlekeh hingga kita terpaksa korbankan prinsip hidup kita.


Kita sebenarnya mampu menilai tetapi tidak mampu memilih yang benar kerana lemahnya keperibadian kita yang mencerminkan lemahnya IMAN kita.  ”Tidak ada paksaan dalam agama, tetapi telah jelas antara petunjuk dan kesesatan. Sesiapa yang mengkufuri Toghut (Sistem yang berlawanan dengan kehendak Allah SWT) dan beriman dengan Allah, maka dia telah berpegang pada tali yang kukuh dan tak akan terputus . Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui” (Al Baqarah:256)

Inilah realiti kehidupan kita…hanya ada dua pilihan … HITAM & PUTIH, 
mana satu yang jadi pilihan kita. ‘Life Is About Making A Decision’ mungkin inilah adalah pepatah yang menggambarkan hakikat ini. Sayangnya tidak semua yang mampu membuat pilihan yang betul walaupun dapat membezakan antara keduanya. Segalanya terletak kepada kekuatan jiwa dan keimanan kita kerana kekuatan jiwa yang lahir daripada kekuatan iman inilah kekuatan tunggal yang dapat meleburkan berhala keegoan yang teguh di dalam jiwa kita. Kegoaan inilah yang menjadi penghalang antara kita dan kebenaran.

Keimanan inilah satu-satunya harapan untuk kita menyelamatkan akhirat kita. Oleh itu pokok pangkalnya berbalik kepada IMAN. Kita telah melihat bagaimana Saidina Umar yang hebat semasa jahiliyyahnya namun setelah ayat-ayat Allah meleburkan keegoannya lalu dia tunduk dan menjadi mukmin yang hebat. Begitu juga Abu jahal yang merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW namun kerana kegoan menguasai dirinya dia tetap diatas kekufuran sedangkan dialah antara orang menyambut kelahiran baginda Rasulullah SAW dengan penuh kegembiraan hinggakan hambanya yang menyampaikan berita kelahiran anak saudaranya itu dimerdekakan serta merta.

Inilah sebenarnya hitam putih kehidupan kita; Keimanan dan Keegoan, Kebenaran dan Kepalsuan, Ketundukan dan Kekufuran. Persoalannya bagaimana untuk kita bina kekuatan jiwa agar pilihan yang kita lakukan benar-benar menguntungkan kita di dunia dan akhirat. Kita tidak ada pilihan lain selain dari merendahkan diri berdoa dan berusaha untuk membina kefahaman yang benar hingga terbinanya keperibadian Islam yang sebenar. 

Tidak ada jalan lain selain dari TARBIYYAH; duduk dan mencari suasana yang mampu mendidik kita untuk kenal dan sentiasa menuju keredhaan Allah SWT

0 comments: