1 soalan dijawab dengan banyak jawapan


ANTARA ILMU DAN HARTA

Pada satu hari, sedang seorang hamba Allah s.w.t memberikan syarahan dalam suatu majlis ilmu, tiba-tiba datang 10 orang lelaki yang entah dari mana asalnya, ingin mencabar setinggi mana ilmu hamba Allah s.w.t yang memberikan syarahan dalam majlis ilmu itu.

Dengan senang hati hamba Allah s.w.t itu menyahut cabaran dari 10 lelaki tersebut.

Tanpa membuang masa lelaki pertama mengeluarkan soalannya..

"Wahai hamba Allah s.w.t,manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?"
"Sudah tentu ilmu itu lebih baik daripada harta," jawab hamba Allah s.w.t.
"Apa dalilnya?" tanya lelaki pertama tersebut.
"Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun, Firaun, Syaddad, dan lain-lain." jawab hamba Allah s.w.t tersebut.

Lepas tu, lelaki kedua pula bertanya:

"Wahai hamba Allah s.w.t manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?"
"Tentulah ilmu lebih baik daripada harta" dengan tenang hamba Allah s.w.t tersebut memberikan jawapannya.
"Apa dalilnya?" tanya lelaki kedua tersebut.
"Wahai saudaraku, ilmu itu menjaga kamu tetapi harta itu kamu yang menjaganya." jawab hamba Allah s.w.t.

Lelaki ketiga pula bertanya:

"Wahai hamba Allah s.w.t manakah yang lebih baik  antara ilmu dengan harta?"
"Tentu sekali ilmu"
"Apa dalilnya?"
"Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta akan mempunyai banyak musuh. Tetapi orang yang banyak ilmu akan mendapat ramai kawan"

Lelaki keempat juga bertanya soalan yang sama seperti sebelumnya, hamba Allah s.w.t tersebut tenang menjawab.

"Wahai saudaraku, harta itu apabila dibelanjakan ia akan berkurang. Tetapi ilmu itu jika diamalkan akan bertambah"

Lelaki kelima juga bertanya soalan yang sama, lantas dijawab dengan tenang.

"Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati, berbeza dengan mereka yang berilmu, mereka pemurah dan akan dihormati."

Lelaki keenam juga memberikan soalan yang sama,

"Pemilik harta akan dihisab pada hari kiamat. Ilmu pula akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat nanti"

Sampailah kepada lelaki yang ketujuh, hamba Allah s.w.t tersebut memandang wajah lelaki ketujuh, lantas memberikan senyuman, hamba Allah s.w.t tersebut dapat meneka soalan yang bakal ditanya. Lantas diberikannya jawapan tanpa sempat lelaki ketujuh tersebut bertanya soalan.

"Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati"

Sampai kepada lelaki kelapan, dengan perlahan hamba Allah s.wt tersebut berjalan mendekatkan dirinya pada lelaki kelapan dan terus memberikan jawapan tanpa lelaki kelapan tersebut sempat berkata apa-apa.

"Ketahuilah saudaraku, harta semakin lama disimpan semakin usang, tetapi ilmu tidak usang dan tidak akan lapuk."

Kemudian hamba Allah s.w.t tersebut melangkah setapak kearah lelaki kesembilan, sambil memegang bahu lelaki kesembilan tersebut,hamba Allah s.w.t berkata:

"Saudaraku, ketahuilah pemilik harta akan berkata harta itu milik dia, berbeza dengan sifat orang yang berilmu. Pemilik ilmu akan mengatakan ilmu itu milik Allah s.w.t"

Sampailah kepada lelaki kesepuluh, seperti tahu hamba Allah s.w.t itu akan memberikan jawapan yang pasti akan mengunci akal fikirnya. Lelaki kesepuluh tersebut tidak bertanya apa-apa melainkan mengajak sahabat-sahabat mereka untuk beredar dari majlis ilmu tersebut. Orang ramai yang berada dalam majlis ilmu tika itu berasa kagum dengan kebijaksanaan hamba Allah s.w.t tersebut yang memberikan banyak jawapan dari hanya 1 soalan.

Sebelum hamba Allah s.w.t yang bijaksana itu meneruskan syarahannya beliau sempat berkata,

"Sekiranya 100 orang yang datang bertanya satu soalan yang sama, insyaAllah aku boleh memberikan 100 jawapan yang berbeza,"

Sungguh kebijaksaan hamba Allah s.w.t tersebut diakui oleh seluruh umat Islam.

Tahukah kalian siapa hamba Allah s.w.t itu? Beliau adalah Saidina Ali bin Abi Talib, sepupu Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, beliau juga pahlawan perang yang handal, dengan pedang Zulfiqar yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w beliau dapat membunuh ramai musuh Islam, antaranya ialah Umru Wudd, hanya dengan umur 24tahun beliau telah membunuh musuh Islam iaitu al-Walid. Satu yang aq suka pada sirah beliau ialah sebelum beliau berkahwin dengan Fatimah, saat beliau berhijrah ke Madinah bersama dengan ibunya, dan Fatimah puteri Rasulullah s.a.w, serta keluarga Abu bakar. Apa yang menariknya ialah pengorbanan yang dilakukan oleh Saidina Ali terhadap Fatimah, beliau sanggup memberikan untanya pada Fatimah untuk ditunggang ke Madinah, bilamana beliau rela berjalan kaki ke Madinah yang jauh jaraknya dari Kota Mekah, sehinggakan tapak kaki beliau pecah.

-Rasulullah s.a.w itu adalah kota ilmu dan Saidina Ali adalah kuncinya-

#sekian
# ni aq kena cakap, part beliau melangkah kaki setapak, pegang bahu tu hanya sekadar penyedap cerita, yang penting mesej aq sampai.

0 comments: