Adalah penting untuk mempunyai ramai kenalan kerana ia boleh membantu melancarkan perjalanan karier kita. Kita akan mudah mendapatkan kerjasama yang diperlukan dalam apa jua hal. Ini secara tidak langsung bukan sahaja memudahkan kerja kita tetapi juga menghasilkan banyak peluang untuk kita mempertingkatkan diri dalam kerjaya.
Apakah petua untuk rakan-rakan menyukai kita?
1. Jangan sombong. Baik dari segi pergerakan badan, pandangan mata ataupun pertuturan. Kita tidak akan rugi apa-apa jika bersikap rendah diri.
2. Tunjukkan keikhlasan kita. Kita perlu ingat bahawa semua orang ingin dihargai dan merasa diperlukan. Jangan senyum atau menegur orang hanya ketika kita tidak mempunyai kawan. Setelah mendapat kawan, janganlah pula lupa bertegur sapa dengan orang lain.
3. Percaya akan diri sendiri. Kebanyakan orang senang bergaul dan berkawan dengan mereka yang mempunyai rasa percaya terhadap diri sendiri.
4. Mempunyai perdirian teguh. Secara umumnya, ramai orang lebih menghargai mereka yang berani mengutarakan pendapat. Namun demikian, kita perlu pandai membawa diri, jangan berani secara membuta tuli.
5. Bersikap terbuka. Walaupun mempunyai pendapat sendiri, kita mestilah mendengar pendapat orang lain juga. Sebelum menegur kesilapan orang lain, selidik dahulu keperibadiannya. Dia mungkin adalah seorang yang tidak dapat menerima teguran.
6. Meminta pendapat atau buah fikiran adalah lebih baik daripada meminta bantuan terus. Cara begini akan lebih menimbulkan rasa simpati dan keinginan orang lain untuk membantu kita. Jangan suka memotong percakapan orang lain kecuali betul-betul tidak mempunyai pilihan lain. Pastikan kita melakukannya secara halus dan berdiplomasi.
7. Berikan imej yang baik. Jangan bercakap terlalu lama supaya orang lain juga berpeluang untuk bersuara. Ketika kita berada di kalangan ramai, berusahalah agar kehadiran kita dirasai oleh mereka.
8. Jangan sesekali meminta pertolongan orang lain terutamanya pertolongan yang melibatkan hal peribadi sebelum benar-benar mengenali mereka. Ini adalah kerana sesetengah orang kurang senang dengan orang yang gemar meminta pertolongan.
9. Jaga cara berkomunikasi kita terutamanya dengan mereka yang sering memberi informasi yang berguna. Gunakanlah bahasa yang bersesuaian dan nada yang terkawal. Balaslah panggilan telefon orang lain dengan sopan. Cara ini akan membuatkan mereka rasa senang hati untuk menjawab panggilan kita pada masa depan.
10. Hubungi kenalan kita secara rutin. Bukannya apa, sekadar bertanya khabar atau say hello. Ini penting agar mereka tidak melupakan kita. Sentiasa menjaga perhubungan dengan menghantar kad perayaan atau tahun baru.
11. Sentiasa menjaga penampilan kita. Ini adalah kerana sesetengah orang suka menilai orang dari segi luaran. Tetapi jangan kita turut berbuat sedemikian ketika berurusan dengan pelanggan. Kita juga perlu mengenakan pakaian mengikut situasi agar dapat diterima dalam apa jua keadaan dan golongan orang.
12. Mempunyai cita-cita dan selalu bergerak aktif. Orang yang mempunyai matlamat dan giat berusaha memang sentiasa disenangi. Jangan menunggu sesuatu untuk berlaku sebaliknya berusalah agar sesuatu itu terjadi.
13. Berikan penghargaan kepada mereka yang telah menghulurkan bantuan walaupun bantuan itu kecil. Setakat mengucapkan terima kasih sudah memadai bagi menjaga perhubungan.
14. Elakkan diri daripada bergosip. Jika kita tidak dapat mengelakkan, adalah lebih baik bagi kita menjadi pendengar saja dan bukannya penyebar. Orang yang suka bergosip tentang orang lain akan dipandang serong.
15. Walaupun kita tidak suka bersosial, namun apa salahnya kita sesekali memenuhi undangan. Jangan sampai kita dicap sebagai anti sosial.
16. Jangan cepat rasa bangga diri apabila dipuji. Ini adalah kerana kadang-kadang pujian itu tidak ikhlas dan hanya untuk mengambil hati.
17. Jangan cepat melenting apabila dikritik. Sentiasalah berfikiran positif & sentiasa berfikiran matang. Jangan senang putus asa, sebaliknya selalu tampil optimis.
18. Banyak membaca terutamanya surat khabar. Selain sebagai pengetahuan am, ia juga membantu kita memahami topik perbualan orang lain sekali gus mendorong orang lebih menghormati kita.
Oleh hal yang demikian, mulai sekarang, kita perlulah berkenalan dengan seramai orang yang mungkin. Mendapatkan kenalan baru ataupun mengekalkan perhubungan tersebut. Namun bukan semua orang mudah mendapatkan kenalan baru ataupun mengekalkan perhubungan tersebut.