HALALAN taiyyiban adalah kaedah yang terbukti memberi manfaat untuk meraih kejayaan serta keberkatan sumber rezeki umat Islam, juga kepada bukan Islam. Ia kaedah menyeluruh yang boleh diguna pakai dalam semua urus tadbir pemakanan, produk, perbankan dan perkhidmatan.
Namun, perkataan halal sering dikaitkan dengan makanan khususnya dalam aspek sembelihan atau sama ada mempunyai logo halal sedangkan kaedahnya sangat menyeluruh dan luas meliputi sumber, proses dan hasil usaha.
Dari sudut hukum, halal memberi maksud apa yang dibolehkan oleh syarak. Menurut Imam Nawawi, baik atau taiyyiban bermaksud suci dan bersih dari segala keburukan amal seperti riak, sombong, angkuh, kecuaian, pecah amanah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.
Seseorang pernah bertanya kepada Ibn Abbas, bagaimana hasil kerja yang dilakukan dengan penganiayaan dan mengambil yang haram, kemudian ia mengerjakan haji, memerdekakan hamba dan bersedekah. Adakah itu dapat menyucikan harta yang diperoleh.
Ibn Abbas menjawab dengan tegas dan ringkas: “Sesungguhnya yang kotor tidak menghilangkan yang kotor.” Jawapan ini menunjukkan kualiti amalan zahir dan batin yang amat dititikberatkan walaupun rukun serta syarat sah amalan telah dipatuhi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah memerintah orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah SWT berfirman: Hai sekalian rasul! Makanlah dari segala yang baik yang telah direzekikan kepada kamu. Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): Hai Tuhanku! Hai Tuhanku! Padahal makanannya haram, dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan apa dimakan seseorang itu hendaklah daripada sumber yang baik iaitu makanan itu baik dan sumber untuk mendapatkan makanan itu juga daripada jalan yang halal.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Antara sahabat Rasulullah SAW yang amat menitikberatkan sumber rezeki halal dan cara membelanjakan atau menggunakannya ialah Saad Abi Waqqas yang diriwayatkan berkata: “Aku tidak pernah mengangkat mulutku sesuatu makanan melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula keluarnya.”
Hal inilah yang diberi penekanan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam penjelasan hadis di atas iaitu Allah SWT tidak menerima sedekah daripada hasil haram kerana yang bersedekah telah mengambil hak dan menzalimi orang lain.
Konsep halalan taiyyiban adalah kefarduan yang mesti diperluaskan dan difahami sebagai kunci piawaian kualiti Islam termasuklah dalam konteks perkhidmatan.
Bagi memastikannya sampai kepada standard kualiti Allah dan pelanggan, halalan taiyyiban perlu diaplikasi dalam tujuh aspek meliputi niat bekerja, matlamat, sumber, operasi, penilaian, pengeluaran dan penyampaiannya.
Tujuh kitaran halalan taiyyiban dapat memastikan kelangsungan usaha menjadi ibadat dan berkat.
Daripada Jabir Abdullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Kaab bin ‘Ujrah Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga jika terdapat daging yang tumbuh di dalam tubuh badannya daripada sumber yang haram.” (Hadis riwayat Ad-Darimi)
Justeru, dalam perkhidmatan, halal atau niat yang baik kerana Allah SWT, jujur dan bersih mengelak daripada sifat khianat, prejudis, prasangka serta bangga diri.
Halal matlamat bukan sekadar jelas, baik, boleh diukur, dicapai dan bermanfaat tetapi bebas daripada unsur yang boleh mendorong kepada penindasan, sabotaj, serta kepentingan peribadi. Halal sumber bermaksud diperoleh dengan berintegriti tanpa penipuan, rasuah, suapan, salahguna kuasa.
Halal proses dan operasi selain mempamerkan persekitaran tempat kerja yang bersih, ditekankan ialah halal dan baik berteraskan nilai seperti cermat, teliti, cekap, cepat, telus, mesra, bersungguh, konsisten dan tanpa kesilapan berulang serta tidak meninggalkan solat kerana bekerja.
Halal penilaian bermaksud dibuat dengan seadil yang mampu, menyeluruh, mengikut peraturan dan prosedur. Halal pengeluaran bermaksud memenuhi spesifikasi dan matlamat disasar tanpa kecacatan atau kecelaan produk, kos berpatutan, tanpa pembaziran serta eksploitasi.
Keseluruhan kitaran halalan taiyyiban menatijahkan pencapaian yang halal lagi baik iaitu bukan sekadar pada ukuran keuntungannya tetapi hasil usaha benar, jujur, beramanah, bermanfaat serta memenuhi kriteria pencapaian.
Justeru, pemakaian sebenar konsep halalan taiyyiban dalam semua urusan perlu dihayati untuk mencapai kualiti menyeluruh yang diberkati di dunia serta diberi ganjaran di akhirat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu baik, Ia tidak menerima melainkan yang baik.” (Hadis riwayat Muslim)